Kuingin impi kita bersatu
Hidup umpama teks cerita. Dengan setiap helainya yang punya sir tersendiri. Kadang yang pelik bisa jadi logik. Kadang yang patut berlaku tidak pula jadi realiti.
Kata ibu, hiduplah seperti benih yang baik, dilempar ke laut jadilah pulau. Kata abah, jadilah seperti pokok berbuah, dilempari manusia dengan batu, tetapi dibalas pula dengan buah ranum.
———————
5 pagi. Saya terkebil-kebil di atas peraduan. Jam penggera sudah lama berhenti berbunyi. Saya memisat-misat mata, menoleh sekilas ke arah jam yang tergantung di dinding, lalu bingkas bangun.
“Astaghfirullah.” Tercetus zikrullah di bibir. “Liat betul nak bangun.”
Langit masih gelap. Sebutir bintang pun tidak ada di dadanya. Rembulan Syawal masih kelihatan, bersinar menerangi alam. Hanya unggas yang menambah hidup pada udara yang senyap. Saya lambat-lambat menyudahkan bacaan al-Quran, cuba menikmati manis ayat-ayat yang tersusun.
Jendela ditolak. Sebu angin pagi menyerbu masuk. Mengelus pipi saya yang lembap dengan wudhu’ yang masih tersisa. Berpagi-pagi begini, elok sekali merasa angin dari alam yang menyegarkan. Saya lantas mencapai tuala, bersedia untuk mandi. Kerana mahu ikut-ikutan Rasulullah. Mandi di waktu begini bisa membuang pelbagai penyakit dan mengusir kantuk yang bergantungan di pelupuk mata.
Segar. Wajah saya terasa segar betul setelah selesai membersihkan diri. Sedikit perfume disembur di badan. Rambut yang separas pinggang dibiar lepas bebas. Saya gemar sungguh berwangi-wangi di dalam kamar. Kerana wangian bisa menyuntik satu aroma yang menyenangkan. Lebih-lebih lagi jika mahu meneruskan pembacaan buku-buku ilmiah. Suasana yang menyenangkan akan mengusir segala bosan yang bertandang.
Sebentar tadi baru sahaja saya memperbaharui hafalan surah ArRahman.
“Kenapa pilih surah ini untuk dihafal?” Tanya Nia pada sebuah petang yang damai.
Saya menoleh, menatap wajah sahabat yang saya kasihi sungguh-sungguh.
“Mungkin kerana surah tu tepu dengan kasih-sayang Tuhan.”
Saya senyum bila terlihat senyuman terukir di bibirnya. Nia genggam erat tangan saya.
“Ingat janji kita Ija, kita jadi mujahidah dan hafizah. InsyaAllah”
Bisik saya padanya, “Biiznillah”.
Sekarang Nia sudah jauh dari saya. Dia pergi tak lama dahulu, selepas petang yang damai itu. Saya dan dia bagai dua jiwa yang punya satu impi. Tapi mungkin, usaha saya untuk mengejar impi tidak sekeras Nia. Nia sangat patuh dengan aturan dan disiplin hidup; samada yang diatur Tuhan ataupun yang dia catat sendiri. Katanya; polisi menjadi Muslim sejati adalah usaha yang keras dan bersungguh pada hal-hal kebaikan.
Tiba-tiba saya jadi sayu. Sahabat saya itu benar-benar menajamkan minda saya yang tumpul dengan perkara-perkara bodoh yang saya suka lakukan. Nia bukan hafizah yang mengikuti pendidikan formal di sekolah-sekolah tahfiz. Malah, dia berputik di sekolah kebangsaan yang kononnya liberal. Ternyata, dia lebih baik daripada pucuk-pucuk muda siraman sekolah agama.
Bangunnya untuk menghafal di waktu malam. Cengkerik pun sudah terlelap tika itu. Katanya untuk seseorang menguatkan ingatan pada surah yang dihafal, elok sekali bangun dan membacanya di waktu malam. Tatkala manusia lain sedang nyenyak tidur, pada waktu itulah minda manusia segar-bugar..
“Apa yang perlu dibangga Nia. Kalau yang dihafal tidak dipraktikkan. Apatah lagi jika makna setiap kalam Allah itu tidak difahami. Laksana menghirup madu yang sudah hilang rasanya. Kalau Kalam Tuhan itu ditadabbur selalu, saya yakin, umat Islam akan bangkit. Seperti di zaman Ibn Rush, Ibn Haitam, AlGhazali atau Assyafie”. Kata saya pada suatu hari.
Dia senyum seperti selalu. “Benar, memang susah nak cari yang terbaik di zaman ini.”
Oh Nia sayang, mencari yang paling baik antara yang terbaik memang payah. Apatah lagi jika yang terbaik itu jarang benar ditemui. Seperti pelangi yang kadang muncul dan cepat-cepat pula menghilang tatkala mentari mula memancar cerlang cahayanya. Begitulah Nia, Tuhan terlalu menyayanginya.
Air mata yang menitis saya biarkan jatuh satu-satu ke atas kertas. Al-Quran di atas meja saya kucup berkali-kali. Ini impi saya dan Nia. Tak mungkin saya berhenti mengejar impi ini. Ini impi saya dan impi Nia yang wajar saya penuhi. Biarpun Nia tidak lagi menjadi peneman saya.
Langit sudah cerah. Awan nampak tercalit di dada langit biru muda. Hari ini tiada kuliah. Tapi saya ingin menghabiskan masa saya di pustaka.
——————–
Dia menoleh lagi. Kali ini sudah 3 kali. Saya menjeling sedikit. Mungkin ada urusan yang mahu dia bincangkan. Lalu saya pun menjungkitkan kening saya;memberi isyarat seolah-olah bertanya;”Ada apa pandang-pandang?”
Tiba-tiba dia terus menuju ke arah saya. Menyua sebuah kotak.
“Saudari ni nama Khadija kan?”
“Ya, saya.”
“Ini bungkusan, saya terjumpa di sebuah tempat. Ada tertulis nama saudari.”
Saya agak pelik, bagaimana dia tahu nama saya. Tapi saya usir jauh-jauh su’ zhon yang beria-ia mahu bersarang di benak. Tidak ada apa yang pelik. Saya memegang jawatan sebagai “Assistant Manager” program kampus sebulan yang lalu. Mungkin dia pernah bekerja di bawah arahan saya.
Saya sangka saya tidak lagi akan ketemu dia. Tapi rupanya tidak benar. Dia; Muhammad, saya ketemu kembali dalam sebuah program di akhir semester.
Tapi kali ini saya bagai mahu biarkan su’ zhon bersarang di benak saya untuk insan bernama Muhammad itu! Dia begitu menyakitkan hati saya. Selalu benar kerjanya jarang disiapkan. Yang malang adalah saya. Saya terpaksa berkejar ke sana sini menyiapkan tugasan sebelum program yang dirancang dilaksanakan.
Kalaulah saya bukan bergelar perempuan yang ada malu, mungkin saya akan gunakan kekerasan untuk mengetuk paku karat sepertinya!
Sampai di telinga saya pada suatu hari, bisik-bisik bahawa Muhammad itu berkonflik hebat sekarang dengan buah hatinya. Khabar-khabar tidak enak begini muncul pada malam-malam kami bertungkus-lumus menyusun bahan-bahan untuk program yang bakal menjelang minggu hadapan. Benci benar saya ketika itu. Sesusuk tubuhnya dengan jeans biru berlegar-legar di ruangan mata.
Akhirnya saya membuat keputusan saya tidak perlu menjadi penukul lagi. Kerana saya bukan tukul untuk paku yang sudah tidak boleh digunakan. Senyap saya, adalah tanda protes dan benci. Program yang tamat adalah simbolok tamat perhubungan kami.
—————————-
Tiba-tiba dia datang lagi dalam hidup saya setelah selesai program itu. Tapi kini dalam watak yang berbeza.
Seperti biasa, saat kami pertama kali bertemu; di pustaka. Saya tidak perasan langsung kehadirannya. Waktu itu dia mampiri saya. Dia menunduk. Menghulur sebuah kotak.
“Saya minta maaf.” Katanya perlahan hingga saya hampir tidak dengar suaranya yang tersekat-sekat serak.
Saya angguk dan senyum. Walaupun hambar-untuk melegakan resah yang terkumpul di dadanya.
Rupanya dia menghadiahi saya sebuah Tafsir karangan Syeikh Syed Qutb. Saya terpegun. Tafsir juz 30 ini ingin benar saya miliki. Namun kerana harganya agak mahal, saya berdikit-dikit dahulu. Tidak saya sangka dia tahu kegemaran saya! Tetapi, sejak itu saya tidak pernah punya peluang ketemu dengannya di mana-mana.
Tahun berlalu seperti derasnya hari-hari yang ditempuh. Saya kini bergelar penulis di sebuah syarikat penerbitan bahan-bahan ilmiah dan majalah. Di ibu kota, saya mendalami erti hidup. Menyelusuri erti insan dan hamba Tuhan. Alhamdullilah saya berjaya menghabiskan 20 juz Al-Quran. Inilah benteng dan peneman saya. Seolah-olah Nia masih bernyawa dan bersorak pada segala ikhtiar saya.
Hidup pada zaman yang pelik begini, dengan segala alat canggih yang boleh diusung ke sana-kemari, semua jadi mudah. Agama dipermudah senang-senang hingga mengikut nafsu syaitan dalam diri. Perempuan bisa dihirup puas-puas madunya tanpa kembali bangun membela maruah dan harga kelopaknya yang dicarik. Jika ingkar dikata kolot, jika menghalang dikata menolak kemajuan.
Saya terpaksa berkeras untuk memisahkan seluruh maksiat, batil dan maaruf yang bercampur. Sehingga payah benar untuk dibeza bandingkan. Kerana yang haram dihalalkan, yang halal diharamkan dan yang syubahat tidak diambil peduli. Muslim hidup dalam angan-angan untuk menjadi seperti kuffar barat. Malang, bukan yang baik itu ditapis untuk patinya yang berkualiti, tetapi hampas yang busuk tak berguna yang diambil, diagung-agungkan dan dibangga. Kuffar barat memandang sinis dan menolak penuh benci di atas puncak, sedang muslim terhegeh-hegeh bersorak, mengagungkan baju pendek nampak pusat, rambut perang tidak ori dan gaya hidup bebas tanpa batasan.
Saya ketemu dia lagi; Muhammad setelah 3 tahun berlalu. Dia nampak segak dengan kemeja dan seluar hitam, kasut berkilat. Itupun secara tidak sengaja. Kami bertukar kad.
Lewat pertemuan, saya terima khabar dari ibu di kampung halaman. Pulang segera. Ada urusan penting untuk diuruskan. Saya pun kalut-kalut pulang ke kampung dan hampir pengsan kerana terkejut; Muhammad meghantar pinangan!
Saya menolak. Saya bukan berdendam atau masih marah. Tetapi saya tidak mahu bersuamikan paku yang berkarat!
Saya fikir dia akan menghilangkan diri lagi kali ini. Tetapi tidak, dia mendatangi rumah saya seminggu selepas itu. Memberi sebuah bungkusan lagi kepada ayah. Pada saat saya pulang cuti hujung minggu, pesan ayah sebelum saya membuka kotak itu; jadilah seperti pokok berbuah, dilempari manusia dengan batu, tetapi dibalas pula dengan buah ranum. Ibu menambah; hiduplah seperti benih yang baik, dilempar ke laut jadilah pulau.
Saya tertegun, di dalamnya ada bingkai gambar saya dan Nia. Saya buka warkah yang terlipat elok;
“Maka nikmat apakah yang kamu dustakan?
Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang membatasi pandangan, yang tidak pernah disentuh oleh manusia maupun jin sebelumnya.
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?
Seakan-akan mereka itu permata yakut dan marjan.
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?”
Assalamualaykum bidadariku,
Yang seperti permata yukut dan marjan indahnya. Seperti mutiara hatinya. Tidak pernah disentuh. Yang ingin benar saya miliki.
Hari ini tidak ada apa yang ingin saya lakukan, selain berharap sayapmu akan berpadu dengan saya. Supaya saya dapat terbang keranamu.
Khadija,
Nia adalah bidadari yang sedang bersenandung di taman syurga, insyaAllah. Dia sebenarnya adalah adik susuanku, teman baikmu. Telah lama saya mencari awak Khadija, sejak Nia melepaskan sayapnya untuk terbang, dia utuskan sebuah nama yang akhirnya terlakar pada dada saya hingga ke saat ini. Secara tidak sengaja pertemuan denganmu terjadi berkali-kali dengan izin Allah. Saya bersyukur kerana tiada nikmat Tuhan yang boleh didustakan!
Tingkah saya semasa bekerja bersama-sama dahulu, hanyalah sebagai ujian untuk menguji hatimu. Ternyata kerja keras Nia kini sudah sebati dalam dadamu. Sesungguhnya, saya tidak mahu memiliki sepasang sayap yang lemah. Awak bisa terbang dengan gagah tanpa bantuan. Dan bisik-bisik nakal itu sengaja saya rancangkan untuk menguji hatimu Khadija, ternyata hatimu tidak tersentuh dengan kehadiran saya sepanjang kita bekerjasama. Lalu saya menghilangkan diri, berharap ada sinar yang berkunjung. Rupanya tidak, hatta setelah saya memberi isyarat dengan menghadiahi senaskhah Tafsir FiZilalil Quran itu. Mungkin kerana masa masih tidak diizinkan lagi. Saya akur lalu berserah pada Tuhan.
Dan ternyata benar tiada nikmat Tuhan yang bisa didustakan. Kita bertemu lagi. Dan kali ini saya tidak mahu melepaskan awak pergi lagi.
Impi Nia, saya dan awak adalah sama, Khadija. Izinkan saya, melamarmu bidadariku, buat peneman ranjau bergelar mujahid di jalan Allah. Dengan hafalan seluruh Al-Quran, kalam tersuci, terimalah…
-Muhammad.
Saya tidak sedar air mata saya menitis laju. Ketika saya mengangkat wajah, Muhammad sedang tersenyum di samping ibu dan abah.
Ya Tuhan, memang benar tiada nikmat yang kami boleh dustakan lagi…